17 Disember 2011

SIRI 1 : IMAM ASSYAFIE ABU MUHAMMAD BIN IDRIS

Disunting oleh :
Ustazah Norritta  Abu Bakar
SMK Taman Jelutong,09000 Kulim,Kedah
Objektif pembelajaran: 

1.  Menerangkan biografi Imam Al-Syafi’i
2. Menjelaskan  kegigihannya dalam menuntut ilmu.

Riwayat Hidup

Nama asal Imam Shafie ialah AlImam Abu Abdullah Muhammad bin Idris alQurasyi alHasyimi alMuttalibi bin alAbbas bin Othman bin Syafi’i. Beliau berbangsa Quraisy dan berketurunan Nabi Muhamad SAW. Mengikut pendapat sepakat ulama, Imam Shafie dilahirkan pada tahun 150 Hijrah. Tarikh kelahirannya bertepatan pada tahun kewafatan Imam Abu Hanifah.Peristiwa seperti ini memberi gambaran, bahawa kelebihan Allah SWT menjadikan keadaan demikian kepada makhluknya, iaitu dengan wafatnya seorang imam maka lahir pula imam lain yang mewarisinya .Terdapat tiga pendapat tentang tempat lahir Imam Shafie iaitu di Ghazzah Syam (Palestin), Asqalan (di pesisiran pantai Palestin) dan Yaman. AlBayhaqi dalam menyelaraskan pendapat di atas mengatakan Imam Shafie di lahirkan di Ghazzah, kemudian dibawa ke Asqalan dan kemudian ke Mekah .


PERIBADI
Imam Shafie ialah seorang lelaki yang bertubuh tinggi, sempurna sifat, baik budi pekerti dan sangat disukai ramai. Beliau sentiasa berpakaian bersih, fasih berkomunikasi, banyak membuat kebaikan dan menjaga tutur kata, berbudipekerti serta bersopan santun.   .
Imam Shafie seorang tokoh ulama hadis dan ulama fikah. Tash Kubra Zadah dalam kitabnya Miftah al
Sa’adah berkata: “Ulama daripada kalangan ahli fikah, usul, hadis, bahasa, tata bahasa dan lainlain telah sepakat tentang amanah, adil, zahid, warak, taqwa, pemurah, baik tingkah laku dan tinggi budi pekerti yang wujud dalam diri Imam Shafie”.Gambaran keperibadian yang begitu hebat dan tinggi oleh para sarjana menunjukkan beliau memiliki ciriciri seorang komunikator yang berwibawa untuk menyebarkan agama Islam. Menurut pendapat sesetengah pihak dalam ilmu firasat, ini adalah satu petanda bahawa Imam Shafie mampu menggantikan tokoh yang telah meninggal dunia dalam bidang ilmu yang sama. Imam Shafie wafat di Mesir pada tahun 204 Hijrah.

KEISTIMEWAAN IMAM SHAFIE

Antara keistimewaan Imam Shafie ialah menghafal Quran ketika berusia tujuh tahun daripada gurunya, Ismail bin Qastantin. Ketika berusia 13 tahun, Allah SWT mengurniakan suara merdu kepada Imam Shafie apabila membaca Quran sehingga ulama di Mekah menjadi khusyuk dan menangis semasa mendengar bacaannya kerana takut kepada Allah s.w.t. Imam Shafie seorang yang tidak jemu membaca Quran. Semasa dalam perjalanan beliau selalu membaca Quran. Sebagai contoh, semasa menuju ke Madinah dari Mekah selama lapan hari untuk berguru dengan Imam Malik, beliau khatam Quran sebanyak 16 kali . Bagi menambahkan ilmu, Imam Shafie juga mempelajari ilmu hadis dan menghafalnya. Pada satu peristiwa Imam Malik mengajar sebanyak 25 hadis.

Semasa Imam Malik membacakan hadis tersebut, Imam Shafie menulis di tapak tangannya menggunakan air liurnya. Imam Malik memanggil Imam Shafie dan menegurnya kerana pada anggapan gurunya beliau tidak bersopan semasa mempelajari ilmu hadis. Imam Shafie menjawab bahawa beliau tidak bermainmain sebaliknya menulis apaapa yang dibacakan oleh gurunya kerana ketiadaan kertas. Imam Malik meminta Imam Shafie membaca ayat yang dipelajari. Beliau berjaya membaca semua hadis tersebut seperti yang telah diajar menyebabkan Imam Malik berasa kagum dengan kebolehan anak muridnya .

Pada usia 10 tahun, Imam Shafie sudah menghafal kitab alMuwatta, karangan Imam Malik. Beliau menamakan kitab tersebut dengan nama alMuwatta yang bermaksud disepakati kerana kitab tersebut telah dipersetujui oleh 70 orang ulama fikah di Madinah. Kitab tersebut mengandungi 5,000 buah hadis yang dipilih daripada 100,000 yang dikumpulkan oleh Imam Malik dalam satu kitab. Imam Shafie telah menghafaz kitab tersebut dalam tempoh sembilan malam.

Pada zamannya, Imam Shafie terkenal sebagai penyair. Syairnya sangat indah dan bermutu tinggi, bukan sahaja dari segi tema dan mesejnya, tetapi dari segi bentuk dan gubahan yang terkawal dan seimbang.Imam Shafie telah menghafal sebanyak 10,000 rangkap daripada syair Huzail. Perkara ini diakui Imam Shafie dalam kitabnya, AzZuhdi.

KISAH IMAM ASSYAFIE MENUNTUT ILMU

Imam Shafie merupakan salah seorang Imam Mazhab yang empat. Beliau mempunyai ketajaman akal dan kecerdikan yang luar biasa. Beliau telah menghafaz al-Quran seawal umur 9 tahun lagi. Setahun kemudian pula, beliau menghafal kitab al-Muwatta’ karangan Imam Malik. Beliau merupakan seorang yang sangat mencintai ilmu. Lantaran itu, pada satu hari beliau meminta izin daripada ibunya untuk keluar menuntut ilmu ke Madinah. Ia merupakan kali pertama Imam Shafie keluar daripada tempat kelahirannya, Makkah dan mengembara untuk meluaskan ilmu.

Apabila tiba di Madinah, beliau terus menuju ke Masjid Nabawi dan menunaikan solat sunat dua rakaat. Setelah selesai solat, beliau terpandang satu Majlis ilmu yang disampaikan oleh seseorang yang sangat hebat dalam masjid tersebut. Orang tersebut sedang bersyarah di hadapan begitu ramai anak-anak muda yang kesemuanya khusyuk mendengarnya. Orang itu ialah Imam Malik yang sedang mengajar murid-muridnya tentang hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Dengan langkah yang tertib, Imam Shafie terus menuju ke tempat Imam Malik dan duduk bersama murid-murid beliau. Imam Shafie lantas mengambil sebatang lidi lalu membasahkannya dengan air liur.


Beliau menulis segala apa yang diajar oleh Imam Malik tersebut di atas tapak tangannya.Tanpa di sedari, Imam Malik memerhati segala tingkah lakunya.

Selesai pengajian, Imam Malik pun memanggil Imam Shafie untuk menegur beliau. Sangkanya Imam Shafie berbuat perkara kurang sopan ketika belajar. Imam Malik bertanya kepada Imam Shafie, “Apakah kamu berasal dari Makkah”. Jawab Imam Shafie, “Benar”. Imam Malik kemudian bertanya, “Mengapakah engkau bermain-main dengan lidi dan air liurmu semasa aku sedang mengajar?”. Jawab Imam Shafie, “Maaf tuan. Sebenarnya saya tidak bermain-main. Oleh kerana saya tidak ada kertas dan pena, segala yang tuan ajar saya tulis di atas tapak tangan saya dengan  menggunakan Lidi dan air liur untuk saya menghafaznya agar tidak lupa seperti yang dikehendaki tuan. Apabila Imam Malik membelek-belek tangan Imam Shafie, beliau tidak menjumpai sebarang tulisan pun. Beliau terus berkata, “Tetapi kenapa tapak tangan engkau ni kosong sahaja”.Kata Imam Shafie, “Benar tuan. Namun demikian tuan, saya telah pun menghafal semua hadis-hadis yang tuan riwayatkan sebentar tadi ”.

Setelah beliau disuruh membaca apa yang dihafalnya, Imam Malik mendapati tidak ada satu hadis yang tinggal daripada 20 hadis yang diajar hari itu. Perkara yang aneh ini belum pernah terjadi sebelumnya. Imam Malik begitu tertarik hati dengan kebijaksanaannya. Semenjak peristiwa itu, Imam Shafie dijemput untuk menetap di rumah Imam Malik sebagai tetamu sekali gus menuntut ilmu dengan Imam Malik. Selama 18 bulan Imam Shafie berguru dengan Imam Malik. Hatinya yang terang memudahkan beliau memahami dan menghafal kitab al-Muwatta’. Sehingga akhirnya, murid kesayangan Imam Malik ini sering diberi penghormatan bersyarah dan mengajar
kepada pelajar-pelajar lain bagi menggantikan tempat Imam Malik lantaran ilmunya.


Pengajaran:

1.Diperhatikan kehadiran Imam Shafie yang sedikit lewat dalam majlis ilmu Imam Malik telah sedikit sebanyak mengganggu perhatian Imam Malik untuk menyampaikan ilmu sepenuhnya. Lantaran itu, dalam menuntut ilmu sebaik-baiknya biarlah berada di dalam majlis seawal mungkin dan tepat pada masanya kerana sesungguhnya ilmu itu ditunggu dan bukannya menunggu. Hal ini juga dapat mengelak daripada penyampai ilmu dan penerima ilmu yang berada dalam majlis merasa terganggu dengan keterlewatan kita itu bahkan kelewatan hadir adalah antara tabiat buruk .

2. Dalam majlis ilmu, tumpuan perhatian yang sepenuhnya perlu diberikan kepada penyampaian ilmu. Apa sahaja perlakuan yang tidak berkaitan seharusnya dielakkan. Perlakuan Imam Shafie sahaja yang sedang mencatat isi pengajaran kuliah Imam Malik dengan menggunakan lidi dan air liur di atas tapak tangan pun sudah begitu mengganggu tumpuan Imam Malik untuk mengajar apatah lagi sekiranya ada anak-anak murid yang bercakap-cakap atau melakukan hal-hal lain .

3. Seorang pendidik yang baik akan mengenal pasti kebolehan dan keistimewaan anak muridnya dalam mendidik, agar dengan itu proses pendidikan dapat dilakukan dengan tepat, sesuai dengan kebolehan dan keupayaan murid tersebut. Menyedari kemampuan dan keistimewaan Imam Shafie, Imam Malik terus mengajak Imam Shafie ke rumah beliau untuk terus dididik dan dipertajamkan kebolehannya sehingga akhirnya ilmu tersebut dapat dimanfaatkan untuk kebaikan umat.








Tiada ulasan: