17 Disember 2011

SIRI 3 : IMAM ASSYAFIE ABU MUHAMMAD BIN ABDULLAH

Di sunting oleh
'Afaf  Izzaty Abdul  Rahim
Pelajar Tahun 1 Matrik Perubatan Bersekutu UIAM
Objektif pembelajaran  :

1. Menyenaraikan  sumbangan Imam Al-Syafi’i .
2.Menjelaskan  kegigihan beliau dalam berdakwah dan mencontohinya.

 SUMBANGAN IMAM ASSYAFIE

 1.Mengasaskan kaedah tertentu dalam mensabitkan hukum.

2. Berijtihad mengikut tempat dan masa.

3.Menghasilkan buku Al-Risalah yang menjadi rujukan umat Islam sehingga kini.

4.Membetulkan fahaman yang salah dalam aliran Muktazilah, Syiah, Khawarij

 Kejayaan beliau mengasaskan satu disiplin ilmu baru yang kemudiannya dikenali sebagai "Usul al-Fiqh" itu kemudiannya telah meyakinkan al-Syafi'i untuk mengemukakan hasil penyelidikan beliau itu kepada para fuqaha yang lain. Bagi tujuan tersebut beliau memutuskan untuk pergi ke Baghdad, pusat perhimpunan para fuqaha pada waktu itu, sesudah Madinah tidak lagi memainkan peranan seperti itu selepas kematian al-Imam Malik pada tahun 179 Hijrah.

KEGIGIHAN IMAM ASSYAFIE

Sebaik sahaja sampai ke Baghdad beliau terus mengajar di al-Jami' al-Gharbi. Dengan segala pemikiran dan metod baru yang dibawanya al-Syafi'i menjadi terkenal dalam dunia keilmuan.[6] Apa yang jelas, beliau telah berjaya menghidupkan kembali pengajian al-Sunnah sebagai asas kepada pengajian fiqh. Sebelum itu al-Sunnah dipelajari dari aspek periwayatannya sahaja.


Pembaharuan yang dibawa oleh beliau itu telah berjaya mewujudkan satu suasana baru dalam dunia keilmuan di Baghdad pada waktu itu. Disamping berjaya mewujudkan satu dimensi baru kapada aktiviti keilmuan di kalangan para ulama hadith, beliau juga berjayameredakan keterlaluan para fuqaha ahl al-Ra’y dalam mengemukakan hujah bagi mempertahankan pandangan mereka. Malah beliau berjaya mengasaskan satu metod baru yang bersifat kompromi di antara pandangan Ahl al-Hadis dan Ahl al-Ra’y.

Asas-asas metodologi kepada fiqh beliau telah ditulis oleh beliau dalam al-Risalah,sementara mengenai fatwa beliau pula ditulis dalam bukunya al-Hujjah yang juga dikenali sebagai al-Mabsut.

Melalui aktiviti-aktiiti ilmiah beliau ini juga al-Syafi'i berjaya melahirkan banyak para pelajar yang kemudiannya menjadi tokoh-tokoh besar. Antara mereka ialah Ahmad Ibn Hanbal (241H).

Selepas dua tahun berada di Baghdad, al-Syafi'i pulang ke Mekah. Pada mulanya tujuan kepulangan tersebut adalah untuk bertemu bekas guru beliau dan untuk menyelesaikan masalah peribadi sebagai persiapan untuk terus berada di tempat lain daripada Mekah secara menetap, samada di Baghdad atau di mana saja. Oleh kerana itu beliau tidak berada lama di Mekah kerana beliau terus pergi sekali lagi ke Baghdad selepas beberapa bulan sahaja berada di Kota suci itu. Pemergian beliau ke Baghdad buat kali ketiga ini berlaku pada tahun 198H.

Beberapa bulan sahaja di Baghdad, beliau terus ke Mesir dan sampai ke negeri itu pada tahun 198 hijrah. Mengikut sesetengah pengkaji, ada dua sebab mengapa al-Syafi'i tidak berada lama di Baghdad pada kali ini. Kedua-dua sebab tersebut berbangkit daripada penguasaan al-Ma'mun ke atas kerajaan pada waktu itu dan perlantikan beliau sebagai khalifah sesudah kematian bapanya khalifah Harun al­-Rasyid.

Pertamanya, pertentangan antara al-Amin dan al-Ma'mun yang berlaku sebelum perlantikan tersebut sebenarnya pertentangan secara proksi antara dua suku kaum terbesar dalam Negara Islam pada waktu itu, iaitu Arab yang menyokong al-Amin, dan kaum Farsi yang menyokong al-Ma'mun. Kemenangan al-Ma'mun dalam rebutan tersebut tidak boleh diterima oleh al-Syafi'i, kerana ia bererti kemenangan unsur Farsi atas unsur Arab.

Keduanya, al-Ma'mun lebih cenderung kepada golongan Mu'tazilah. iaitu suatu aliranpemikiran yang tidak boleh diterima oleh al-Syafi'i yang berpegang dengan aqidah aliranahl sunnah wal-jamaah.

Sebaliknya di Mesir, gabenor di daerah tersebut seorang berbangsa Arab keturunan Bani Hasyim, iaitu yang ada ikatan kekeluargaan dengan beliau. Malah sesetengah pengulas berpendapat gabenor itulah yang menjemput al-Syafi'i ke sana.

Di Mesir, populariti beliau di bidang fiqh dan usul al-fiqh ini bertambah dengan cepatsekali. Dalam masa yang singkat sahaja ramai orang menganuti mazhabnya. Ia bukan sahaja berlaku di Mesir, tetapi juga di segenap ceruk rantau dunia Islam pada waktu itu. Di sanalah juga imam al-Syafi’i mengubah qaul beliau yang lama (qaul qadim) semasa di baghdad kepada qaul yang baru (qaul jadid). Ia terkandung dalam karangan fiqh terulung beliau, al-Umm. Ia merupakan renovasi dari kitab al-Hujjah karangan lama beliau semasa di Baghdad.

Imam Syafi’i (767-854 Masihi) juga turut melaksanakan reformasi pendidikan agar lebih progresif dan berkesan. Beliau tidak mahu membataskan pengajaran ilmu kepada bidang Akidah dan Syariah sahaja. Malah beliau menyarankan agar ilmu sains dimasukkan ke dalam silibus pendidikan.

Dalam buku biografinya Manaqib al-Syafi’i, diceritakan bahawa Imam Syafi’i amat dukacita atas kecuaian umat Islam pada zaman itu yang meninggalkan pengajian ilmu perubatan dan menyerahkan ilmu tersebut kepada orang-orang Yahudi dan Kristian. Ini terjadi akibat salah faham umat Islam yang merasakan bahawa ilmu perubatan adalah ilmu keduniaan (sekular) yang tidak perlu dikuasai kerana tidak ada kaitan dengan keagamaan. 

Walaupun Imam Syafi’i lebih dikenali sebagai ulama fiqh, namun beliau memberi sumbangan yang tidak kurang hebatnya dalam bidang perubatan, astronomi, sastera dan sejarah. Dalam kurikulum pengajarannya, beliau telah memasukkan ilmu kemahiran memanah dan menunggang kuda, malah kemahiran beliau sendiri dalam memanah dan menunggang kuda amat dikagumi.

Tiada ulasan: